PENGENALAN SYARIKAT SDN. BHD DAN ENTERPRISE
Bagi mereka yang masih keliru, jangan risau. Perbezaan paling mudah yang boleh dilihat adalah Enterprise boleh didaftarkan sebagai milikan tunggal atau perkongsian dan ianya perniagaan berlesen, dimana setiap tahun business owner perlu renew lesen dengan pihak SSM dan Enterprise tertakluk di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 “Registration of Business Act 1956”
Sdn. Bhd, perniagaan tidak boleh dilakukan secara sendirian kerana Sdn Bhd itu adalah entiti berasingan atau dipanggil sebagai pertubuhan yang tertakluk dibawah Akta Syarikat 2016 “Companies Act 2016”
PERLAKSANAAN DAN PENUBUHAN
Sesebuah syarikat Sdn. Bhd. tidak perlu perbaharui lesen SSM, berbanding dengan Enterprise perlu perbaharui lesen SSM setiap tahun, dan syarikat Sdn. Bhd. perlulah
Melantik Setiusaha Syarikat dalam tempoh 30 hari dari tarikh penubuhan syarikat
Penyerahan penyata tahunan dan penyata kewangan yang telah diaudit setiap tahun
Kemaskini maklumat syarikat seperti maklumat pengarah syarikat dan pemegang saham, modal berbayar ‘paid-up capital’ dan lain-lain maklumat berkenaan
Selain daripada itu, syarikat Sdn. Bhd. dan Enterprise dikehendaki mematuhi syarat dan peraturan pihak berkuasa kerajaan. Seperti, permohonan lesen perniagaan, KWSP dan pendaftaran PERKESO untuk pekerja, pemfailan cukai, dan lain-lain.
PERBEZAAN SYARIKAT SDN. BHD. DAN ENTERPRISE
1) Syarikat Sdn. Bhd
Konsep entiti
Sebuah syarikat Sdn. Bhd. adalah satu entiti sah yang berasingan, terpisah dari identiti pemegang saham, pengarah ataupun ahli-ahlinya. Oleh itu, asset yang dimiliki oleh syarikat adalah hak milik syarikat dan bukannya hak milik perseorangan. Begitu juga dengan hutang, syarikat yang bertanggungjawab untuk menyelesaikannya.
Liabiliti dalam perundangan
Sebuah syarikat Sdn. Bhd. dan pemiliknya adalah dua entiti yang berasingan dari segi perundangan. Jika seseorang menyaman syarikat itu atas sebab-sebab tertentu, pemilik syarikat itu berkemungkinan hanya akan kehilangan apa yang dia telah laburkan dalam syarikat.
Konsep berterusan
Syarikat Sdn Bhd akan terus wujud walaupun selepas kematian salah seorang pemegang saham, pengarah ataupun ahli-ahlinya. Saham orang yang meninggal dunia boleh diserahkan kepada orang lain, sepertimana yang dituliskan dalam surat wasiat, dan kewujudan syarikat itu tidak terganggu. Saham itu juga boleh dijual mengikut kehendak waris, dan pemilik baru saham tersebut akan menjadi pemegang saham syarikat.
Cukai Cukai akan dikenakan ke atas syarikat. Kesemua perbelanjaan yang terbabit dalam pemerolehan pendapatan sebuah syarikat Sdn. Bhd. itu boleh diberi pelepasan bagi tujuan cukai pendapatan. Antara pelepasan termasuklah faedah ke atas pinjaman yang diambil bagi modal pusingan, gaji pekerja, belian komputer, aset kereta, yuran audit dan cukai serta lain-lain.
2) Perniagaan Enterprise
Bentuk perniagaan Enterprise
Perniagaan Tunggal-Perniagaan yang dimiliki sepenuhnya oleh seorang (1) pemilik.
Perniagaan Perkongsian-Perniagaan yang dimilki oleh sekurang-kurangnya dua (2) orang dan tidak melebihi dua puluh (20) rakan kongsi.
Konsep entiti
Pemilik perniagaan bertanggungjawab sepenuhnya bagi aset dan juga liabiliti syarikat.
Liabiliti dalam perundangan
Pemilik syarikat dan syarikat itu adalah satu entiti yang sama dari segi perundangan. Oleh itu, pemilik syarikat berkemungkinan akan hilang keseluruhan wang simpanan dan hartanya jika seseorang menyaman syarikat itu dan menang.
Konsep berterusan
Apabila pemiliknya meninggal dunia, keseluruhan perniagaan beserta asset dan liabiliti perniagaan akan diuruskan mengikut wasiat. Selain itu, perniagaan tersebut juga akan dibubarkan apabila pemiliknya meninggal dunia.
Cukai Perniagaan Enterprise, hasil pendapatan yang diperoleh akan dikenakan ke atas cukai individu pemilik perniagaan. Keuntungan perniagaan akan dikira sebagai pendapatan individu. Oleh yang demikian kadar cukainya adalah berdasarkan kadar cukai individu.
KELEBIHAN SYARIKAT SDN. BHD. DAN ENTERPRISE
Syarikat Sdn. Bhd. adalah berliabiliti terhad – Risiko kerugian dan bankrap bagi syarikat Sdn. Bhd. hanyalah terhad kepada harta yang disumbangkan ke dalam syarikat itu, tetapi risiko untuk perniagaan Enterprise rugi atau bankrap adalah lebih besar kerana risikonya termasuk harta perniagaan dan juga harta peribadi.
Jangka hayat syarikat terjamin – Sesebuah syarikat tidak akan dibubar jika salah seorang pengarah atau pemegang saham meninggal dunia. Namun berbeza dengan perniagaan Enterprise, kematian pemilik atau rakan kongsi akan diikuti dengan pembubaran perniagaan.
Kemudahan untuk mendapat modal bagi syarikat Sdn. Bhd. adalah lebih besar berbanding dengan perniagaan Enterprise kerana ianya lebih teratur dari segi pengurusan lembaga pengarah, mesyuarat agung tahunan, laporan audit dan juga laporan tahunan.
Syarikat Sdn. Bhd. berpotensi untuk berkembang luas sama ada melalui penggabungan, ambil alih atau usahasama, sebaliknya tahap perkembangan perniagaan Enterprise pula agak terhad.
Pemilik saham bagi syarikat Sdn. Bhd. juga tidak dibebankan dengan tanggungjawab pengurusan kerana pengurusan syarikat dijalankan oleh ahli lembaga pengarah.
Disclaimer: Maklumat yang diberikan dalam artikel ini hanya untuk rujukan umum. Sila dapatkan nasihat daripada setiausaha syarikat, peguam atau profesional lain mengikut keperluan perniagaan anda.
Comments